Serunding Kampung Laut jadi 'rebutan' sepanjang Ramadan
HARON Hassan dibantu isterinya, Wan Jah Wan Yusof membungkus tiga jenis serunding daging yang sudah ditempah di rumahnya di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan, kelmarin. - utusan/Hapizah Aziz
TUMPAT 6 Ogos - Sambal daging atau serunding Kampung Laut terus menjadi 'rebutan' orang ramai sepanjang Ramadan ini.
Ia diakui oleh seorang pengusaha, Haron Hassan, 66, yang memberitahu permintaan sambal daging atau serunding yang diusahakannya meningkat sehingga 100 dan 150 kilogram sehari sepanjang Ramadan ini.
Menurut Haron, dia yang dibantu isteri, Wan Jah Wan Yusof, 60, dan lapan orang pekerja menerima tempahan bukan setakat dalam negeri tetapi juga dari Kuala Lumpur, Johor, Perak dan Pulau Pinang.
"Saya tidak menghadapi masalah membekalkannya kerana mempunyai tenaga kerja yang cukup bagi memenuhi tempahan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Laut di sini semalam.
Menurut Haron, proses menyediakan serunding memerlukan masa dua hari bermula dengan proses merebus daging selama lapan jam diikuti mencarik atau melerai halus daging berkenaan.
Pada masa yang sama katanya, semua ramuan rempah-ratus dan santan perlu dimasak selama kira-kira dua jam sebelum dicampur dengan daging yang telah dicarik, kemudian dikacau selama kira-kira empat jam atau sehingga kering.
"Saya pernah mencuba mempercepatkan proses mencarik daging menggunakan mesin tetapi hasilnya tidak menepati selera pembeli," katanya.
Haron dan isterinya memulakan perusahaan membuat serunding sejak lebih 20 tahun lalu setelah mewarisi resipi istimewa tersebut daripada arwah moyang isterinya, Che Halimah Che Sulaiman.
Berkat usaha gigih pasangan itu, serunding menggunakan jenama Pok Su Haron kini semakin mendapat sambutan daripada penggemar makanan itu sehingga menjadi sumber pendapatan utama mereka sekeluarga.
Menurut Haron, serunding daging keluarannya dijual pada harga RM40 sekilogram manakala serunding ayam RM50 dan ikan RM30.
No comments:
Post a Comment